PERKENALAN di antara Nur Layla dengan Rafael bukanlah bermula dalam keadaan yang baik. Masing-masing mempunyai tanggapan yang negatif antara satu sama lain.
“Aku tahulah kau dah terbiasa dalam rumah ni, tapi kalau dah tetamu tu buatlah cara tetamu. Masuk rumah orang dah macam pencuri pulak. Kau tak reti nak bagi salam ke? Tak ada adab?” ~ Rafael
“Rafael, otak awak letak dekat mana, hah? Kan saya dah cakap saya datang sini cari Rania. Jangan nak cakap sesedap rasa awak aje.” ~ Layla
Peristiwa dianiaya sahabat sendiri membuatkan Layla membawa diri jauh dari semua yang berkaitan dengan lelaki itu. Lalu dia lari membawa diri ke Sri Beringin. Namun sejauh mana pun kakinya melangkah, takdir tetap membawa dia kepada lelaki bermulut longkang, baran atau lebih dikenali sebagai Mat Preng kerana hobinya yang suka merempit. Siapa sangka pertemuan kali kedua itu membuatkan Rafael mula menyimpan perasaan pada Layla sedangkan itulah gadis yang amat dibencinya dahulu. Namun hati seorang Layla bukan mudah untuk dicairkan. Berlakulah persaingan sengit di antara Rafael dan Arman dalam mendapatkan perhatian si gadis.
