Harapan tinggi mama dan ayah mahu si anak menjadi Syeikh bahasa Arab. Dalam erti kata mudah, ‘pakar bahasa Arab'.
Maka, pada usia sangat muda (belasan tahun), berkelanalah si anak nun jauh ke benua Afrika untuk menyambung pelajaran. Tepatnya, negara Sudan yang bahasa Arabnya merupakan bahasa Arab tinggi.
Sekolah yang menjadi pilihan bukan sekolah biasa-biasa. Ia sekolah luar biasa. Mengapa luar biasa? Sebabnya jika diberi pilihan, orang biasa takkan memilih sekolah luar biasa seperti itu. Apatah lagi anak Malaysia! Yalah, siapalah mahu bersekolah di sekolah yang serba-serbi kekurangan. Bilik darjah suram berdebu. Dinding bersepih. Surau berlantaikan tanah keras. Daif!
Amirul Budak Sudan merupakan sebuah perjalanan remaja yang bercekal hati, ditinggalkan oleh orang tuanya di Sudan untuk meneruskan pelajaran peringkat menengah. Daripada seorang yang berbadan agak gempal, bertukar menjadi remaja kurus lampai.
Alahai! Bagaimanalah anak paling manja dalam keluarga dan masih keanak-anakan meneruskan hidupnya di negara terpencil jauh dari keluarga? Tiga tahun menjadi anak dagang, menjadikannya sebuah perjalanan hidup yang mahal yang perlu dibayar.
Impian mama dan ayah, cuba ditunaikan, namun akhirnya terluah segala yang terpendam. Impian sebenarnya jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh mama dan ayah. Rupa-rupanya si anak sudah lama memendam rasa. Ada impian dan cita-cita sendiri yang mahu digapai.
Si anak tidak mahu menjadi syeikh bahasa Arab, tetapi mahu menjadi chef. Lalu mama dan ayah terpempan!
Amirul Budak Sudan – Penuh dengan ibrah dan teladan. Sebuah kisah keibubapaan ... jangan pandang rendah pada kemampuan anak walaupun pada zahirnya tidak kelihatan akademiknya cemerlang. Usah memaksa anak mengikut acuan ibu bapa. Perhatikan kelebihan anak dan arah mana kecenderungan minatnya, kemudian pimpinlah dia sehingga berjaya!
Amirul Budak Sudan – sebuah kisah merentas sempadan negara dan budaya, pasti mencuit naluri rasa mereka yang bergelar ibu bapa!