Comel! Itu kata Ryan Amsyar. Saat pertama kali melihat Ameena Jasmin. Namun, dalam hatinya telah terukir satu nama, Mellina. Dia lelaki yang setia pada cinta. Akhirnya, dia dan Mellina diijab kabul.
Tetapi, bahagia yang dicari hanya seketika. Hanya lima bulan. Mellina curang kepadanya!
Tiga bulan Ryan menduda, akhirnya dia dijodohkan dengan Ameena. Pilihan tok mi. Dia hanya menganggap Ameena sebagai adik saja. Nak jatuh cinta? Ah, tidak mungkin. Dia takut bercinta lagi. Takut pisang berbuah dua kali!
“Meen tahu kan, kisah abang macam mana? Abang hanya bahagia lima bulan. Hanya lima bulan. Dan, abang nak perkahwinan kita juga hanya lima bulan. Jika abang tak luahkan kata cinta pada Meen, Meen boleh pergi cari kebahagian Meen sendiri. Abang tak mampu untuk mencintai Meen.” – Ryan Amsyar
Tiada cinta, tiada sayang. Tetapi, Ameena Jasmin bukan seorang yang cepat mengalah. Dia perlu kembalikan cinta suaminya itu. Hanya untuknya! Ameena mula menggoda. Mula dapatkan cinta milik suaminya itu. Tetapi, mampukah dia?
“Abang, tolong Meen untuk kembalikan cinta abang. Tolong…” – Ameena Jasmin
Dalam tak suka, Ryan mula romantik. Bukan dia tidak sayang, tapi dia takut. Takut jika dia akan terluka lagi. Namun, cinta mula berputik, bahagia mula berbunga. Tetapi, Ryan terlupa untuk ungkapkan kata cinta buat Ameena. Memang betul, cinta bukan saja diluahkan oleh perkataan, tapi juga perbuatan. Namun, Ameena tidak mahu meneka sesuka hati.
Akhirnya, Ameena tunaikan janji mereka. Cukup lima bulan, dia pergi. Namun, Ryan datang mengejar, mahukan cintanya yang kembali.