Naskhah ini bukan saja perlu dimiliki oleh pelajar, pensyarah atau guru, ia juga sesuai dibaca oleh sesiapa saja yang sedang berusaha mahu memperbaiki diri.
Leteran jika dizahirkan dengan suara, kadang memekakkan telinga. Tapi coretan ini berjaya menukarkan leteran menjadi ‘sesuatu’ yang perlahan-lahan mampu meresap masuk ke dalam jiwa.
Sungguh ini bukan coretan kosong. Ada inti. Paksinya realiti yang menjentik hati.
Bahkan kisah-kisah yang terkandung di dalam buku ini amat sesuai dijadikan panduan kepada para remaja dalam menghadapi situasi belajar dan cabaran berdikari di Institusi Pengajian Tinggi. Bagi yang bergelar siswa-siswi, semestinya pernah dan akan mengharungi salah satu atau beberapa situasi seperti dalam kisah-kisah yang diceritakan ini. Nilaikan pengajarannya dan buatlah keputusan mengikut pertimbangan yang wajar dalam menangani apa jua cabaran mendatang.
Manakala buat para pendidik, ini bukan hanya cerita saya. Ini cerita kita. Seharusnya kita tidak hanya melunaskan tanggungjawab menghabiskan silibus semata-mata tapi juga turut mendidik dengan jiwa.
Buku ini mengajak para pendidik meletakkan ‘mindset’ betapa perlunya panduan agama dalam membantu menangani isu-isu pelajar. Zaman remaja adalah zaman ‘try and error’. Mereka sedang belajar sambil ‘belajar’. Dekati dan bimbing mereka mengikut ajaran Islam yang sudah jelas terbukti dapat memandu ke arah kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Semoga kalam kita berbekas di jiwa mereka.
Dan tatkala anak-anak sedang ‘bergelut’ dengan dunia mereka, para ibu bapa pula harus berperanan sebagai pendengar dan penasihat yang baik. Usah biarkan mereka terkapai-kapai sendirian kerana beranggapan mereka sudah cukup matang untuk mengurus kehidupan. Percayalah! Saat ini anak-anak remaja kita lebih memerlukan sokongan dan tunjuk ajar agar tidak tersalah memilih jalan yang menjadi penentu masa depan.