Jack diberikan syarat oleh Aifa. Jika Jack mahu diiktiraf di hadapan semua sebagai suaminya, Jack haruslah membuat perubahan ke atas penampilannya yang tidak ubah bagaikan ketua pengemis dunia itu. Namun, tidak semudah itu untuk Jack bergaya mengikut arus kemodenan masa kini. Dia lebih selesa dengan gaya ‘purbakala’ nya itu.
“Abang tahukan, abang tak boleh keluar dari rumah ni selagi abang tak ubah penampilan abang?” – Aifa
Dalam melayari bahtera perkahwinan bersama suami rahsianya, Aifa hampir saban waktu pening kepala melayan sikap aneh dan ‘jakun’ Jack. Selain hanya mahu memakan roti sahaja, Jack juga punyai tabiat mengikat straw pada rambutnya dan sentiasa mahu berpakaian usang. Malah Jack suka tidur di bawah katil sedangkan isterinya tidur di atas katil. Itu belum lagi Jack mematahkan side mirror keretanya semata-mata untuk bercermin. Argh! Aifa hampir gila dengan sikap ‘luar alam’ Jack itu.
“Tak pernah dibuat orang bawa calon suami dalam bonet kereta. Kamu ni main-main atau serius Aifa?” -Uthman, ayah Aifa.
Aifa langsung tidak menyangka, suaminya yang sangat misteri itu sebenarnya adalah pewaris harta pusaka jutaan ringgit. Jack ataupun nama sebenarnya Ryan Danish rupanya seorang jutawan. Sekali Jack melakukan perubahan ke atas penampilannya, hampir jatuh terduduk Aifa kerana ketampanan Jack.
“Dengan ini saya lucutkan pangkat ‘Secret Husband’. Sekarang abang adalah ‘Unsecret Husband’. Saya takkan berahsia lagi kewujudan abang dalam hidup saya. Perubahan penampilan abang sudah cukup buat saya gembira.’ -Aifa