Sementara menunggu waktu untuk perbincangan yang akan diadakan di CUSU, Shasha memutuskan untuk menunggu di ruang rehat yang disediakan sambil menonton rancangan televisyen.
Peristiwa yang terjadi pagi tadi sudah berjaya dilupakan. Dia tidak mahu marah-marah. Biarlah mereka. Kalau Najwa itu tiba-tiba menangis gara-gara Tengku Iffat, siaplah Iffat aku kerjakan.
Akhirnya Shasha tertidur di atas sofa. Dalam masa yang sama, Tengku Iffat yang ingin merehatkan diri di ruang rehat itu amat terkejut melihat kelibat Shasha di situ. Awal juga dia datang, getus hati Tengku Iffat sambil membelek jam tangannya.
“Laaa… Tidur rupanya tuan puteri ni.” Tengku Iffat tersenyum setelah melihat Shasha sedang terlentok di bahu sofa tersebut.
Tengku Iffat terus duduk di sebelah Shasha sambil meletakkan kepala gadis itu di sisi sofa dengan beralaskan bantal sofa. Rambut depan Shasha yang menghalang wajah dikuak lembut ke sisi. Satu perasaan yang amat aneh hadir dalam diri Tengku Iffat. Amat menenangkan dan tenteram apabila melihat raut wajah Shasha. Hilang segala keletihan yang melanda. Dengkuran halus menambahkan lagi ketenangan dalam jiwa lelakinya.
Tiba-tiba pintu ruang rehat dikuak oleh seorang lelaki.
“Iffat, perbincangan dah nak mula,” ujar Firdaus, salah seorang ahli jawatan kuasa di dalam MPP. Tengku Iffat serentak mengangguk sebelum lelaki itu berlalu.
“Sha...” Lembut Tengku Iffat menggoyang bahu Shasha. Shasha masih diam dan tidak memberi sebarang respons. Amboi, tidur mati ni. Dengan hati yang nakal, Tengku Iffat mendekatkan bibirnya di telinga kanan Shasha.
“Allahuakbar Allahuakbar!” Suaranya dibesarkan, ingin mengejutkan Shasha.
Seperti terkena kejutan elektrik, Shasha membuka matanya lalu bangkit. Shasha yang ketika itu dalam keadaan mamai seperti mencari sesuatu.