Imam Nawawi Rahimahullah merupakan salah seorang cendekiawan Islam yang terulung dan merupakan pendokong besar dalam Mazhab Syafie. Beliau dikenali dengan pelbagai tulisan yang bermutu dan bernilai tinggi. Kebanyakan hasil karyanya yang bermutu dan bernilai tinggi telah menyumbang banyak manfaat dan kefahaman mengenai agama kepada masyarakat sejak dari zamannya sehingga ke hari ini.
Antara karyanya yang sering dibaca dan diajarkan adalah Hadis 40. Menurut Imam Nawawi, Hadis 40 adalah koleksi hadis yang merangkumi pelbagai aspek asas dalam agama. Hadis 40 ini turut menyentuh persoalan Usul al-Din, Berjihad, Sifat Zuhud, Adab Kesopanan dan banyak lagi. Hadis 40 yang dikumpulkan adalah kompilasi yang sebahagian besarnya diekstrak daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.
Membaca dan menelaah kitab ini tidak asing lagi buat masyarakat kita di Malaysia. Dirasai keberkatan penulisan sang penulis dengan terus menerus pengajarannya dan berkesinambungan generasi yang mewarisi ilmunya Rahimahullah.