“Sibuk tanya pasal tunang aku pula. Sudahlah, Ezza! Kalau tak ada benda nak cakap, tak payah cakap apa-apa. Buat sakit hati aje!” – Kayla Nafisah.
Shila Ezzani dibesarkan tanpa kasih seorang ibu. Walaupun Tuan Jamal mengahwini Puan Alisa dan memberikannya seorang ibu tiri, Ezza tidak pernah dianggap seperti seorang anak. Ezza tidak mengerti mengapa ibu dan kakak tirinya tidak menyukai dirinya. Nasib baiklah peribadi Haziq tidak begitu. Hanya pada abang tirinya sajalah Ezza dapat berkongsi duka.
Kemalangan yang menimpa Kayla memang terjadi tanpa disangka. Kayla terkorban di usia muda. Keluarga Tuan Jamal semuanya berduka. Datang Haziq pula dengan khabar tidak disangka-sangka. Lelaki itu menyatakan perasaan dan menagih cinta Ezza. Bercinta dengan abang tiri... gila apa? Mana nak campak Puan Alisa. Pasti terjadilah perang saudara antara mereka kalau Haziq menjadi pilihan.
Lamaran Azrul Hakimi mengeruhkan lagi keadaan. Yang ini lagi seorang. Pertemuan di antara Ezza dan Azrul boleh kira saja dengan sebelah tangan. Dia langsung tidak mengenali peribadi bekas tunang kakak tirinya itu.
Kenapa tiba-tiba saja mahu memperisterikannya?
Pinta lelaki itu cuma satu, Ezza diminta untuk menjadi ibu kepada Lily, anak arwah Abang Long yang kini Azrul jaga.
Jadi ibu segera... oh tidak!
“Kenapa Abang Rul pilih Ezza?”
“Sebab abang nampak Ezza ada potensi untuk jadi ibu yang baik kepada Lily - Azrul
Ezza rasa nak hempuk kepala ke dinding. Kenapa dalam ramai-ramai manusia? Dia menjadi pilihan dua lelaki yang dia tak hingin pun! Ezza tersepit antara Haziq dan Azrul. Yang seorang mahu mencintai dirinya, yang seorang lagi mahu mencari calon mama untuk anaknya.
Siapakah yang benar-benar ikhlas menerima dia seadanya? Ungkapan cinta antara mereka mungkinkah menjadi kenyataan?