Selepas Tok aku meninggal dunia, aku memang lebih banyak menghabiskan masa di rumah Aki Lela. Aku terpaksa menyiapkan diri untuk menjalani ujian bertapa. Aki Lela dan Ayah Abu telah meletakkan 'nama baik' mereka di hujung tanduk apabila membenarkan budak kecil aku untuk bersendirian di dalam hutan tebal.
Bertapa memerlukan keberanian yang melebihi tahap biasa. Dunia bertapa amat memeningkan kerana kita tidak akan dapat membezakan antara dunia nyata dengan ilusi. Pandangan mata akan sentiasa diperdaya manakala pandangan batin akan menjadi kunci yang paling utama.
Aku sendiri tidak mampu membezakan yang mana satu 'diri' aku yang sebenarnya. Dahaga, kelaparan, keletihan, kesakitan dan bersendirian membuatkan aku hampir-hampir menyerah kalah. Keputusan untuk aku berjalan pulang merentas hutan tebal telah menyebabkan aku melalui pengalaman yang sehingga sekarang aku tidak pasti sama ada sekadar ilusi ataupun realiti. Apa yang aku tahu, ia adalah seminggu yang amat gila.