Belian & Pertanyaan:

Belian & Pertanyaan:

Wednesday 1 March 2017

Cinta? Biar Betul ~ Anna Milia

(SEM & S/S) RM27.00 > RM23.80

FARID yang memandu ke bengkel. Aisya pula mengekori mereka.

“Kau bukan setakat perdajalkan dia, dengan aku-aku sekali kena tempias.” Farid berleter.
“Aku coverlah semua kos. Kalau kau nak cat satu kereta pun, no problemlah, Farid.”
“Kau tak rasa kasihan ke kat dia? Habis rosak berpuluh-puluh biji kek dia.”

Khaffy terdiam. Dia memang rasa bersalah tetapi rasa itu ditolak jauh-jauh.

“Kau cover sekali kerugian cup-cake dia,” suruh Farid.
“Tengoklah dulu macam mana.” Farid menggeleng.
“Ni, nanti aku berlakon yang aku tak cukup duit. Aku akan minta hutang dengan kau dan kau tak setuju. Kau pun berlakon sekalilah.”
“Huh? Kau nak perdajal dia sampai macam mana lagi ni?”
“Sampai dia tahu macam mana sakitnya bila messed up dengan family aku.”

Mereka tiba di bengkel mengetuk dan mengecat. Ketika mereka sudah memperolehi anggaran harga bagi kedua-dua kenderaan, Khaffy menarik tangan Farid. Dia memulakan lakonan.
“Aku tak cukup duit. Dia kata seminggu siap. Mana aku nak cari duit. Kau ada?”

Farid mengeluh. Apalah nasib aku hari ni, Sudahlah kereta dijahanamkan. Menipu pula. Tak tahulah apa lagi selepas ini.
“Kau ada duit tak?”
“Sorry, Khaffy. Aku tak ada duit sebanyak itu.”

Nurhafizah menjulingkan matanya ke atas. Bengang betul dengan lelaki yang baru sahaja menyusahkan hidup majikannya itu. “Macam inilah Encik Khaffy, saya akan bayar kos kereta saya. Bila awak dah ada duit nanti, awak boleh bayar balik.”

Bulat mata Farid memandang Aisya. Khaffy juga terkedu tetapi riak wajahnya dikawal supaya tidak menggambarkan rasa terkejutnya.

“Awak percayakan dia ke?” tanya Farid. Khaffy mencerlung pada Farid.
“Insha-Allah. Kalau Allah dah tulis ada rezeki, adalah.”

Nurhafizah menggeleng. Inilah sikap Aisya yang dia tidak suka. Terlalu percayakan orang walaupun tidak dikenali.

“Kalau setakat orang datang hutang cup-cakes dua tiga biji okeylah. Ini banyak sangatlah, Aisya.” Aisya senyum.
“Aku nak call abang aku kejap. Nak suruh dia bawa kita ke rumah Puan Dahlia.”

Khaffy hanya memerhatikan gelagat Aisya. Persepsinya, masih kekal seperti kelmarin. Wanita itu cukup sempurna. Tapi sayang, tidak sesempurna hatinya. Hati Aisya kotor dan busuk.

“Fizah, abang aku baru dapat emergency call. Dia ada kes. Boleh tak kau suruh abang kau jemput kita?”

Nurhafizah tersenyum suka. Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia menghubungi abangnya.
Aisya menapak ke kereta. Kotak-kotak berisi cupcake dikeluarkan. Dia meletakkan semua kotak di atas lantai. Dia membuka kotak dan mengasingkan beberapa cup-cake yang masih elok. Hanya ada dua puluh biji yang tidak terusik. Mujurlah cup-cake yang diletakkan di kusyen belakang tidak terjejas. Khaffy hanya mengawasi tingkah laku Aisya. Semua yang dilakukan oleh wanita itu diperhatikan penuh minat.

“Macam mana?” Aisya bertanya sebaik sahaja merapati Nurhafizah.
“Okay. Abang aku datang sekejap lagi.” “Banyak mana yang rosak?” Aisya tersenyum pahit.
“Selamat dalam 100 biji aje.”
“Maknanya. Tak cukup lebih 50 bijilah?” Aisya angguk.
“Kita nak buat macam mana?”
Aisya menggeleng.

“Apa kata kalau kita bungkuskan cookies dalam cup dan ikat dengan plastik. Sempat ni kalau abang aku datang awal.”
“Okaylah tu. Tapi yang tu tak payah charge pada Puan Dahlia. Kira untuk 100 biji aje,” putus Aisya.
Perbualan mereka didengari oleh Khaffy dan Farid.

“Kau tak kesian ke kat mereka?” Farid berbisik di telinga Khaffy.
Khaffy sekadar menjongketkan bahunya. Berat untuk mengaku yang dia memang ada perasaan kesal.
Aisya menghampiri mereka berdua. Dua biji cupcake dihulurkan kepada Khaffy dan Farid. Laju sahaja tangan Farid menyambar huluran itu sementara Khaffy kelihatan teragak-agak.

“Makanlah.” Akhirnya Khaffy menerima pemberian Aisya. Ekor matanya dapat melihat Farid sedang tersenyum sinis padanya.
“Terima kasih.”

Nurhafizah mengejar langkah Aisya. “Dah tahu cup-cake tu tak cukup, buat apa kau bagi kat diorang?”
“Fizah, tak bankrap kita kalau setakat sedekah dua tiga biji. Selagi makanan tu menjadi darah daging mereka, selagi itulah...”
“kita dapat pahala.” Suara mereka bergema serentak. Nurhafizah sudah acap kali mendengar kata-kata itu. Aisya tersenyum manis.
“Pandai pun,” puji Aisya.
Nurhafizah menjulingkan matanya ke atas.

Aisya melabuhkan duduknya di atas kerusi yang disediakan untuk pelanggan. Dia mengeluarkan cup-cake yang sudah comot. Usai membaca doa makan, Aisya mencuit sedikit cup-cake lalu disumbat ke dalam mulutnya.

“Kau bagi kat mereka yang elok. Kau sendiri makan yang rosak, buruk.” Aisya menggeleng kecil.
Khaffy yang setia mendengar perbualan dua wanita itu berpaling. Dia melihat cup-cake yang sedang dipegang oleh Aisya. Kenapa asyik nak bagi markah penuh aje pada perempuan tu? Khaffy mengeluh.

“Mana ada rosak. Masih boleh makan. Cuma tak cantik aje. Kau tak nak ke?”

Nurhafizah menggeleng. Suasana sepi antara mereka.

Farid bangun. Dia melangkah ke mesin air kotak yang terletak di suatu sudut bengkel. Tekaknya perlu dibilas dengan air apabila rasa manis icing dirasakan masih melekat di kerongkongnya. Dia membeli empat kotak air. Dua kotak dihulurkan kepada Aisya dan Nurhafizah.

“Terima kasih, encik. Semoga Allah memberkati rezeki encik,” ujar Aisya ikhlas. Farid terkedu. Khaffy menjeling dari ekor matanya.
“Amin,” ujar Farid.
“Nama saya Farid. Tak payahlah berencik-encik dengan saya.”
“Saya Aisyatul Umaira. Awak boleh panggil saya Aisya,” ujar Aisya penuh sopan. Farid perasan yang Aisya kerap mengelak daripada memandang wajahnya. “Hah! Abang aku dah sampai.” Nurhafizah bersuara ceria.

Mereka semua memandang ke arah sebuah kereta Toyota Hilux yang memberhentikan kereta di hadapan bengkel. Aisya dan Nurhafizah melangkah keluar dari bengkel.

“Terima kasih sebab datang jemput kami. Abang Akram sibuk sikit hari ni. Maaflah menyusahkan abang Harris,” ujar Aisya.

Harris menghadiahkan senyuman paling manis kepada Aisya. Mana ada susahnya. Aisya tidak tahu betapa gembiranya dia apabila Nurhafizah menghubunginya tadi. Dapatlah dia menabur jasa pada wanita idaman hatinya itu.

“Tak ada susahnya, Aisya.” Harris meratah wajah Aisya yang dibasahi peluh. Ringan tangannya mahu mengelap peluh itu. Alahai, Aisya. Kenapa awak cantik sangat?

Khaffy mengetap rahang. Matanya mencerlung pada Harris. Dia dan Farid membantu memindahkan kotak ke dalam kereta Harris.

“Mana handphone awak?” Khaffy menghulurkan tangannya kepada Aisya.
Aisya mengeluarkan telefon bimbitnya lalu diserahkan kepada Khaffy.
Menggunakan telefon bimbit Aisya, dia menghubungi nombor telefonnya. Aisya hanya memerhatikan perlakuan Khaffy.
Setelah telefon bimbitnya berdering, Khaffy memulangkan telefon Aisya.

“Awak dah ada nombor saya. Jangan risau, saya tak akan lari.”
Aisya mengangguk kecil.