Hidup seorang Atiana Aqisha tidak mudah dari kecil hingga dewasa. Pelbagai dugaan menimpanya membuatkan dia seringkali dibuli, mudah diambil kesempatan malah dia juga hidup dalam tekanan emosi. Sehinggalah muncul Ummie Aqisha menyelamatkannya dalam pelbagai situasi malang yang dia hadapi. Malah Aqisha juga sanggup berkongsi suaminya, Qayyum tika bakal suami Atiana lari dari majlis perkhawinannya. Menjadi madu dalam keluarga suaminya budan mudah apabila mendapat tentangan daripada ibu mentuanya yang tidak merestui ikatan itu.
“Aku tak akan sesekali terima kau sebagai menantu aku sampai bila-bila pun!” - Puan Sri Maimun
Atiana pasrah. Padanya dengan mencintai Qayyum, dirinya akan kuat dan tabah walau Qayyum seringkali tidak berlaku adil. Layanan Qayyum pada Aqisha jauh lebih baik daripadanya. Namun, itu tidak menghalang Atiana untuk terus mengharapkan cintanya berbalas. Pada usia perkahwinannya baru setahun jagung, akhirnya ikatan itu temui jalan perpisahan. Atiana akur pada takdir bilamana cinta Qayyum tidak pernah ada buatnya.
“Aku ceraikan kau, Atiana Aqisha binti Razali dengan talak satu.” - Qayyum
Atiana meneruskan hidupnya tanpa mencari cinta baru. Cinta buat Qayyum yang masih bersisa menemani hidupnya sehinggalah Syed Ishak muncul dalam hidupnya. Atiana tahu kebahagiaan pasti akan menjengah juga dalam hidupnya suatu hari nanti.
“Atiana, mari kita hidup bersama dan bahagia tanpa memikirkan masa akan datang. Tak perlu takut untuk mencapai tangan I kerana I pasti akan mencintai dan melindungi you dengan baik. Keikhlasan I tak mungkin berjaya menarik cinta you tapi percayalah, suatu hari nanti keikhlasan ini yang akan menyelimuti you dan memberikan you kehangatan.” – Syed Ishak
Keikhlasan hati Syed menghulurkan cinta buat Atiana membuatkan Atiana terkedu. Mampukah dia menerima Syed tanpa bayangan cinta Qayyum dalam hatinya lagi? Siapakah imam milik Atiana?