Lelaki bernama Fuad itu muncul dengan tiba-tiba menawarkan Yusmal dan rakan-rakannya untuk memasuki Bandar Silang Maya. Fuad mahu mereka menggunakan kemahiran mereka menggodam kata laluan bagi mematikan sistem di beberapa menara di dalam bandar itu.
“Suku juta tu banyak, Yus.”
“Kau terima?”
Pertimbangan demi pertimbangan dibuat dan akhirnya mereka menerima tawaran yang menjanjikan keuntungan itu. Yusuf dan robot AI bernama Leona menjadi pihak lawan mereka.
“Kalau Yusuf gunakan Leona untuk perangkap kita, kita mungkin tak dapat keluar dari bandar ni nanti.”
Teknologi Dwitiga menjadi satu-satunya alat pertahanan sebelum mereka berjaya menyelesaikan misi dan keluar dari Bandar Silang Maya. Namun, semakin mereka hampir menjayakan misi, nyawa mereka semakin dalam bahaya.