Belian & Pertanyaan:

Belian & Pertanyaan:

Monday 8 November 2021

Haylin di bawah Langit Barcelona ~ Ann Hann

(SEM & SS) RM28.00 > RM27.00

‘JANGAN JUMPA KAIZIL LAGI! INI AMARAN!’ 

Sederas rasa takut yang menerpa, begitu juga keberanianku muncul. Sampai begitu sekali Encik Aart bertindak. Dia bagaikan takut dengan hal-hal yang tidak harus dirisaukan. Aku peduli apa! 

Datanglah seribu ancaman sekalipun, aku sudah siap berdepan. Dia rasa dia kebal sebab ada banyak duit. Apa dah jadi dengan polis? Aku perlu takutkah dengan amaran begitu? Apa lagi salah aku? Aku tidak mengganggu sesiapa pun sejak tinggal di sini. Dengan perasaan bengang, aku menyimpan gambar dan nota itu ke dalam sampul semula kemudian memasukkan ke dalam beg silang. 

“Kenapa Encik Aart tak simpan saja anak lelakinya dalam almari piala? Biar jadi tugu untuk dipandang sahaja.” Bebelku sendirian. 

Aku meninggalkan Vamos dengan fikiran yang lebih menghala ke London. Lebih tepat lagi,orang-orang yang tinggal di London. Aku memang mudah terdedah dengan ancaman sebab sikapku yang selalu bimbangkan orang lain lebih dari diriku sendiri. Kaizil dulu pernah berpesan, jangan pedulikan orang lain. Sentiasa beritahu dia kalau ada apa-apa. Dan aku tidak mengikuti semua pesanannya. Bolehlah dikatakan aku lebih mematuhi arahan Encik Aart kerana aku bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk jika aku melanggar arahannya.

 Ingatan itu buat aku bencikan diri sendiri. Cukuplah, aku mahu melupakan semuanya.Membiarkan kepedihan mendominasi hidup, hanya menyakitkan hati. Aku mahu hidup normal dan gembira. Tuhan tidak akan membiarkan aku selalu dirundung malang.