Rania sudah jatuh hati dengan Razlan. Keakraban Razlan dan ayah selepas itu membuatkan Rania percaya, lelaki itu turut menyukai dia. Tapi malangnya, dia tersilap tafsir, dia salah menduga. “Dari awal saya tau, awak tu sebenarnya suka saya. Sebab itulah awak sengaja berbaik dengan ayah saya kan?” - RANIA
“Saya berbaik dengan ayah awak sebab ayah awak sendiri, tak ada kena mengena dengan awak pun. Saya kalau nak cari pasangan, saya tak cari yang macam awaklah.”- RAZLAN
Ya Allah, pedihnya hati. Teruk sangatkah dia, hina sangatkah dia sampai Razlan tergamak menyebut begitu? Okey, dia boleh terima bila Razlan tolak cinta dia, tapi bila Razlan tolak ‘lamaran’ ayah, dia sangat berkecil hati. Boleh dia bayangkan hati ayah yang kecewa dan terluka. Rizman, lelaki yang ada segala-galanya. Tapi dalam ramai-ramai gadis, dia yang tidak punya apa-apa ini juga yang Rizman nampak. Dia juga yang Rizman hendak. Sungguh, dia terharu.
"Saya nak minta izin pak cik untuk mengambil Rara sebagai isteri saya. Saya sayang Rara dan saya benar-benar ikhlas.”- RIZMAN
Hanya ada dua jawapan untuk lamaran Rizman itu, sama ada sudi atau tidak. Sangat mudah. Tetapi kenapa Rania rasa sukar untuk menjawabnya? Ketika hati mahu menerima, kenapa perlu ada rasa serba salah? Sedangkan pantai lagi berubah, ini pula hati manusia. Itulah yang terjadi kepada Razlan. Hatinya tiba-tiba terusik. Tiba-tiba pandai merindu. Siapa sangka kan?