Setelah kematian bapanya, Aryan sering didatangi mimpi pelik seolah-olah roh bapanya tidak tenteram di alam sana. Aryan mengesyaki peti kayu Jawa kuno warisan tinggalan nenek moyang yang disimpan oleh arwah bapanya itu pasti menyimpan suatu rahsia atau jawapan akan maksud mimpi-mimpinya itu.
Namun, setelah berjaya membuka peti lama itu, bukan jawapan yang Aryan perolehi tetapi bala pula menimpa diri serta keluarganya. Sebentuk cincin zamrud di dalam peti lama itu rupanya berpuaka dan patut dimusnahkan oleh arwah bapanya, namun tidak sempat kerana bapanya jatuh sakit dan meninggal dunia dalam keadaan tragis.
“Tiada hebatnya sesuatu itu jika tiada ‘kuasa’ bersamanya!” / CINCIN PUAKA ZAMRUD
Salim Bach berasa panik apabila dirinya diekori seorang lelaki tua yang memakai cincin batu delima. Suatu hari, dia cuba untuk melarikan diri daripada dirompak dan diselamatkan oleh lelaki tua yang mempunyai kekuatan luar biasa itu. Misteri lelaki tua itu terbongkar setelah Salim Bach memperkenalkan lelaki itu kepada bapanya, Malek Bach. Rupa-rupanya lelaki tua itu adalah datuknya yang ingin mewariskan cincin yang mampu membuka hijab dunia gelap.
Setelah lelaki tua yang dikenali sebagai Tok Aki itu pulang, sesuatu telah berlaku apabila vampira mengganas memburu mangsanya. Akibatnya, makhluk dari dunia gelap memburu Tok Aki dan keluarga Salim Bach. Terselamatkah mereka daripada diburu oleh Warewolf, Frankestein, Casper dan Freddy The Night?
“Hanya yang berdarah asli dapat mewarisi cincin yang membuka dunia terhijab!” / SAKTI CINCIN
Mimpi-mimpi aneh yang diterima Wanda setelah tiga bulan meninggalkan Kampung Serindit Emas sering mengganggu tidurnya. Semenjak didatangi mimpi-mimpi itu, hidupnya tidak tenteram. Dia selalu merasakan ada sesuatu yang mengekorinya. Pertemuan antara Wanda dan Seirra merungkai segala-galanya. Mampukah Wanda melepaskan diri daripada gangguan mimpi-mimpi aneh itu? Berjayakah Seirra membantu Wanda daripada terus diganggu? Tanpa sedar, ada dendam yang bersimpul di hati. Ada mata-mata ghaib yang sentiasa memerhati!
“Dia hak aku!” / KHADAM