Penangguhan majlis pernikahan yang dipinta oleh tunangnya telah mengikat Haziq Asyraf dengan Nur Ayla Khalish. Perjanjian antara Puan Suria dan Datin Suhaila telah menguatkan sebab untuk menyatukan kedua-duanya.
Demi menghormati perjanjian yang telah dibuat oleh ibunya, Ayla menerima takdir yang ditentukan walaupun dia terpaksa bernikah dengan lelaki yang tidak pernah dia kenali. Fikirnya segalanya akan baik-baik sahaja. Namun di awal perkahwinannya, Ayla dihidangkan dengan kebenaran yang memeritkan. Kecuaiannya telah merantai kakinya dalam mahligai tanpa cinta itu.
“Isi perjanjian ni mengatakan yang kau tak boleh dan tak dibenarkan lari daripada aku sehinggalah Farah balik.” – Haziq
Terkesan dengan kesabaran Ayla melayannya, perlahan-lahan hati Haziq terbuka untuk menerima gadis itu. Namun, kerana ada dendam yang perlu dilunaskan, Haziq memilih untuk mengabaikan perasaan cinta yang baru berputik. Hidup Ayla diperkotak-katikkan tanpa belas ihsan. Ketabahan Ayla benar-benar teruji apabila Haziq memilih untuk menikahi Farah.
“Kalau kau tak suka, kau boleh berambus dari rumah ni. Ingat sikit! Ni rumah aku. Kau tu menumpang aje!” – Haziq
Kejadian demi kejadian yang berlaku, hati Ayla parah. Dia memutuskan untuk pergi. Sungguh, dia menyesali pernikahannya dengan Haziq.
“Saya terima awak sebagai suami saya. Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak. Tapi apa saya dapat? Awak hina saya. Macam saya ni tak ada harga diri langsung. Saya dah cukup terseksa dengan semua ni. Tolonglah pergi daripada hidup saya kalau awak tak nak ceraikan saya pun.” – Nur Ayla Khalish
Luka hati Ayla terlalu dalam sehingga Haziq sendiri mati akal mahu mengubatinya. Dia tahu segala yang berlaku itu salahnya. Silapnya kerana terlalu menurut perasaan dendam. Sudah terlambatkah Haziq untuk mendapatkan sebuah kemaafan daripada Ayla? Mahukah Ayla menerima Haziq semula setelah apa yang berlaku? Mungkinkah rasa dendam dapat dihapuskan dengan perasaan cinta yang masih mekar dalam jiwa?