Hana Suziela… Dia dibesarkan dengan kemewahan, namun serba-serbi kekurangan; kurang sifat kasih sayang dan asas hubungan sesama insan. Arah tujunya penuh dosa dan noda, paksinya dibelenggu dengan hawa nafsu. Kebahagiaan yang dicari tidak pernah abadi, lantas dirinya mula mempersoalkan kewujudannya di atas muka bumi. Namun dia tetap beruntung kerana dihadirkan orang-orang yang baik di sekelilingnya.
“Zie… kau selalu cakap dengan aku, untuk apa kita hidup atas dunia ni kalau tak ada tujuan… Kau ikutlah aku, Zie…” – Mia.
Takdir juga telah mempertemukan dia dengan Uzai tatkala dia sedang lemas dalam putus asa dan kekecewaan. Kemunculan lelaki itu telah memberikan seribu satu perubahan dalam dirinya, mengajarnya hakikat hidup yang sebenar.
“Kenapa dalam dunia ni ada kesusahan? Kalau Tuhan sayangkan manusia, Dia takkan biarkan kita ditimpa musibah, kan?” – Suzie
“Allah turunkan musibah tu sebagai satu bentuk ujian, untuk test siapa antara kita ni yang paling setia bergantung kepada Dia apabila ditimpa kesusahan.” – Uzai
“Awak tak rasa kejam ke Tuhan buat macam tu? Dia buat kita rasa susah semata-mata untuk uji kesetiaan kita.” – Suzie
Akhirnya, kebahagiaan yang hakiki telah pun dijumpai, dan dia bertekad tidak mahu berpaling lagi. Namun begitu, pelangi yang disangka dapat bertahan lama, habis lenyap pergi. Saat bahagia yang dinanti, dia diberi ujian sehinggakan kepercayaan yang dipegang tergugat dek kecewa hati.
“Kau tahu sebab apa aku jadi macam ni? Tahu sebab apa??? Sebab Tuhan tu tak pernah adil!!! Dia tak pernah adil!!! Dia kejam! Kejammmm!!!” – Suzie
Kisah ini bukan sekadar kisah tentang pertemuan antara dua jiwa, malah yang utama kisah ini tentang pertemuan seorang hamba dengan Tuhannya, kisah tentang manusia yang lemas dalam tipu daya dunia, dan kisah tentang hati yang ingin pulang kepada Penciptanya.