Dek hendak sangat mendapat tugasan yang lain daripada lain, Shou si penyiasat persendirian, menerima kerja untuk mendekati Juli Lorelei Mediha. Baru hendak memikat si cantik itu, Juli kemalangan, langsung amnesia. Dalam ingatan baru Juli yang palsu itu, Shou adalah kekasihnya yang satu. Hendak dinafikan, Tok Ayah Ali pula mendesak Shou supaya terus berlakon menjadi kekasih Juli. Dalam terpaksa, Shou rela.
''Berikan setia you kepada i seorang.''
Tujuh hari berada di sisi si cantik kacukan Melayu dan Jerman itu membuatkan hidup seorang Shou menjadi huru-hara. Campur pula dengan adanya Shireen, si sepupu yang menjadi calon pilihan nombor satu emak untuk dijadikan menantu. Ada pula musuh yang mengintai dan menanti mereka tersalah langkah. Lagi haru apabila ada hantu. Tetapi, yang paling Shou bimbangkan ialah hatinya sendiri. Takut ada cinta buat Juli si penggoda. Cinta yang akan berakhir andai amnesia Juli pulih.
''Ich liebe dich.''
Kata Juli sebelum amnesianya hilang dan tugasan Shou turut berakhir. Shou akhirnya menjauhkan diri dengan hati yang sudah ada kembang cinta. Noktahkan segalanya kerana dia sedar siapa dirinya di sisi Juli. Namun, si penggoda tak berhenti mengejarnya. Juli sudah berjanji takkan mudah-mudah lepaskan Shou pergi.