ADELIA... Adelia, hidupnya tidak seperti gadis lain. Dia sentiasa terkongkong di bawah perintah Ayu. Kemana-mana sahaja dia ditemani Syamil. Namun, apakan daya, menyedari akan status diri, dia terpaksa. Menjejak ke negara matahari terbit, hidupnya mula mewarna. Di sanalah dia mula mengenali erti cinta meskipun Syamil seakan bayang hitam yang sentiasa merantai kakinya.
SYAMIL... Kehadiran gadis itu sejak kecil sering mengundang amarahnya. Namun dia sedar, ada satu perasaan halus yang mula mengusik hatinya walaupun dia sering menafikan. Namun sikapnya yang sering menengking Adelia membuatkan gadis itu semakin menjauhinya.
DAMIEN... Seorang jejaka Cina yang mula menyinari hati Adelia. Sikapnya yang romantis dan melayan Adelia seperti seorang puteri membuatkan gadis itu mula membuka hatinya perlahan-lahan. Demi ingin melindungi Adelia, dia sanggup mengikat janji cintanya.
“You betul-betul cintakan I?”
“Sumpah.” Damien angkat sebelah tangan separas bahu.
“You janji tak akan curang dengan I?”
“Lelaki ini adalah lelaki yang paling setia dalam abad ini.”
“Kalau suatu hari nanti I dah gemuk, you masih setia dengan I?”
“Takkan sesekali I peduli pada saiz badan you.”
Namun segalanya bukan mudah. Satu demi satu dugaan mula menguji cinta mereka sehingga terbongkarnya rahsia yang menyebabkan mereka harus mempertimbangkan ikatan yang terbina selama ini. Dengan status diri, rahsia terpendam serta hasad dengki membuatkan mereka semakin jauh.
“Sekarang you cakap, apa yang you nak sebenarnya. I boleh bagi pada you. Kecuali bulan, bintang dan matahari. Lain-lain I boleh bagi. Cakap!”
“I nak kebahagiaan I yang dulu, bi.”
“You berkahwin dengan I bukan nak cipta bahagia, Adelia. Tetapi you cuba cipta dunia you sendiri!”
Lalu... Apakah yang perlu Adelia lakukan? Setia menunggu atau membawa hatinya yang lara? Di mana dia harus menumpang kasih bila kepercayaan mula hilang satu demi satu? Masihkah ada lagi rasa cinta antara mereka bila maruah diperkotak-katikkan?