Terhendap-hendap Luvreen mengikut langkah Kazrai di hadapan sana. Entah apalah tujuan lelaki itu datang ke sini. Nak membeli-belah, tak mungkin. Nampak muka yang beku itu, Luvreen tak rasa dia kaki shopping.
Janji temu? Itu kemungkinan besar! Tapi dengan siapa? Girlfriend? Itu mungkin juga. Biarpun muka dia beku tanpa sebarang riak. Walaupun kata -kata dan tingkah dia menyakitkan hati tapi dia boleh tahan charming jugak!
“OMG, kalau dia dah ada girlfriend habis tu I macam mana? Tak kan nak bersaing kut?” Luvreen bermonolog sendiri.
Kakinya menapak perlahan-lahan sambil mata setia memerhatikan tingkah lelaki di hadapannya itu. Sesekali dia berlagak seakan pelanggan yang sedang membelek barang, dengan harapan tingkahnya tiada siapa yang perasan.
“Ya cik, ada apa yang saya boleh bantu?”
Luvreen sekadar sengih bila salah seorang jurujual menghampirinya. Matanya tak sedikit pun teralih daripada memandang Kazrai. Dia tak boleh biarkan lelaki itu terlepas dari pandangannya.
“Sekarang kami ada menyediakan beg tangan edisi terbaru, Cik nak tengok ke?” Soal jurujual itu penuh sopan.
“Jangan hiraukan saya,” balas Luvreen sementara tangannya terkapai-kapai di udara menggesa jurujual itu pergi jauh darinya. Matanya pulak, semakin tajam menilik setiap tingkah lelaki yang berada di hadapan sana. Dia tak tahulah kenapa, tapi setiap kali lelaki itu bertembung dengan staf pusat membeli-belah ini, pasti mereka semua tunduk ke arahnya.
Hurm... kena siasat ni. Lengan jurujual yang diusir tadi ditarik.
“Awak nampak tak lelaki berbaju biru dengan jaket kat tangan tu?” Soal Luvreen bila wajah jurujual tersebut dipaksa menghala ke arah Kazrai.
“Maksud cik, lelaki kat depan sana tu?”
Luvreen angguk. “Ah, awak kenal tak?”
“Itu Encik Kazrai.”
“Encik Kazrai?” Ulang Luvreen dan jurujual itu angguk mengeyakan.
“Oh... jadi nama dia Kazrai rupanya.” Senyuman Luvreen mekar sedikit demi sedikit. Bukan main susah lagi untuk dia dapatkan nama lelaki itu.
“Dia kerja kat sini ke?” Soal Luvreen lagi namun kali ini jurujual itu senyap tanpa memberi jawapan. Dia tak tahu siapa Luvreen jadi tak patut rasanya kalau dia menceritakan segala-galanya’
“Apa jawatan dia kat sini?” Bila tak ada jawapan untuk soalannya yang pertama tadi, Luvreen kalih pandang jurujual tersebut.
Hurm, riak wajah itu dia tahu sangat. Ini bermaksud Kazrai seorang yang berjawatan tinggi. Kalau tak, tak kanlah dia tampak serba salah. Tapi kan, kalau dia kerja cuci tandas pun, tak ada masalah! Detik hati Luvreen.
“Maaf cik, tapi kalau boleh saya tanya cik ni siapa?”
“I?” Soal Luvreen semula. Lalu dia berdiri dengan posture yang lebih yakin tak macam tadi terbongkok-bongkok.
“I...” Luvreen curi pandang ke arah Kazrai
Lelaki itu belum 24 jam dia kenali malah nama pun hanya diketahui dari mulut orang lain namun rasanya dia telah jatuh cinta. Kenapa dia jatuh cinta? Itulah yang menariknya tentang lelaki bernama Kazrai ini. Kerana tanpa sebarang alasan, hatinya telah terpikat.
“I bakal isteri dia.”
Bukan saja jurujual itu yang ternganga tapi rakannya yang turut mendengar pengakuan Luvreen turut ternganga sama.
“Kenapa nampak terkejut sangat ni? Tak kanlah...” Luvreen menapak mendekati jurujual tersebut lantas tangannya naik melingkar di bahu jurujual itu.
“Dia ada isteri ke?”
Jurujual itu menggeleng.
“Ada teman wanita?” Soal Luvreen lagi dan laju juga jurujual itu menggeleng.
“Good!” Senyuman Luvreen bertambah lebar.