Sahabat, mari andaikan proses kehidupan ini bagaikan satu proses penyediaan makanan. Kita tidak pandai memasak agar-agar. Tapi kita nak cuba. Kita pun buat carian di internet. Kita ambil resepinya. Beli bahan-bahan. Dan kita pun ikut setiap langkah demi langkah yang ditunjukkan. Sukses! Menjadi agar-agar kita. Transformasi telah berlaku. Kita - daripada tak tahu apa-apa kepada mampu melakukannya. From zero to hero. Kita tidak jahil lagi!
Sekarang, kita sudah tahu cara memasak agar-agar. Kita tahu agar-agar tersebut perlu dibekukan dahulu selama 1 jam sebelum boleh dimakan. Kita malas menunggu. Kita nak cepat. Baru 15 minit, kita dah terbalikkan acuan. Apa berlaku? Cuma separuh saja agar-agar itu sudah mengeras, sebahagian yang lain masih lembik. Aduhai. Penat kita guna acuan yang cantik tapi rosak teruk bentuk agar-agar kita.
Kenapa? Sebab kita degil! Kita tak ikut arahan yang terdapat dalam resepi. Kita nak ikut fikir logik kita sendiri. Kita gagal sabar. Inilah yang dimaksudkan dengan tagline Pelan-Pelan Kayuh. Tentang bahaya jahil. Tentang bahana degil.
“Kadang kau bukan tak mampu. Cuma tak tahu. Kadang kau bukan tak tahu. Cuma tak sabar.”
Tagline ini adalah kesimpulan yang mampu saya buat daripada pemerhatian dan penglibatan saya dalam perkongsian masalah dengan rakan-rakan dan saudara mara. Kita stres. Kita kecewa. Kita melayankan duka berlama-lama kerana dua perkara. Sama ada sebab kita jahil atau kita degil.
Sekiranya kita dapat menguasai kemahiran untuk mengendalikan dua masalah ini, insya-Allah, kita bukan saja akan jadi orang berjaya, bahkan juga orang yang tenang hatinya. Namun untuk mendapatkan kemahiran ini, kita perlu belajar. Itu prosesnya. Sama ada kita belajar daripada pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain, yang pasti, kita perlu belajar. Dan proses pembelajaran tidak berlaku sekelip mata!
Pelan-pelan Kayuh. Ini adalah antologi kisah-kisah benar yang telah dikongsikan oleh saya dan para peserta Bengkel Penulisan Bonda Nor.
“Saya mahu tuan puan semua tuliskan satu kisah pahit maung tuan puan berdepan ujian. Mungkin ujian itu ialah untuk mendapatkan apa yang tuan puan mahu. Tuliskan prosesnya. Daripada mula berkehendak hingga berjaya mendapatkannya. Atau mungkin juga ia adalah ujian yang berbentuk musibah. Kongsikan bagaimana tuan puan mengharungi satu persatu proses untuk keluar daripada musibah tersebut. Write down the process! Saya mahu yang pahit itu menjadi manis.”
Para peserta dipaksa bangun pada jam 3 pagi. Dipaksa menuliskan sebuah kisah yang tulus daripada hati. Dan inilah hasil