NEGARA dikejutkan dengan satu berita yang sangat tragis dan ngeri. Kisah satu kes pembunuhan yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan tular di media sosial. Ceritanya panas selepas menjadi tajuk besar di semua surat khabar dan stesen televisyen utama negara. Pembunuhan yang melibatkan unsur-unsur syirik dan mistik.
Pihak polis telah menemui kesan serpihan sisa tulang manusia yang telah dibakar setelah mereka menyerbu sebuah rumah di Baling, Kedah. Bagaimanapun, mereka masih menunggu ujian DNA yang dilakukan oleh unit forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mengenalpasti kesahihan identiti mangsa yang dibunuh.
Dalam salah sebuah bilik di rumah itu juga ditemui bahan dan peralatan untuk pemujaan sihir. Rumah itu dimiliki oleh seorang bomoh wanita orang asli yang sangat handal dalam ilmu hitamnya terutama untuk membusungkan orang hingga digeruni oleh sesiapa sahaja.
Pihak polis juga menjangkakan secara tidak langsung, mereka akan turut dapat menyelesaikan dua kes iaitu seorang gadis yang mati dibunuh di sebuah tali air di Jalan Jenun dan kebakaran sebuah rumah yang melibatkan kematian sebuah keluarga di Bukit Raya. Ini berdasarkan penemuan suspek yang ada kaitan dengan kesemua kes yang melibatkan si mati. Kes tersebut bagaikan sebuah teka-teki yang sudah menemui titik punca.