Kita hidup di zaman berbeza, cara parenting dulu dan sekarang perlu diadaptasi mengikut kesesuaian dan kepentingan semasa. Tidak dinafikan bagaimana kita dididik dulu akan mempengaruhi cara didikan kita kepada generasi hari ini. Namun, itu tidak bermakna kita tidak mampu bawa perubahan.
Jika anda pernah dipukul kasar ibu bapa masa kecil dan masih ingat sampai hari ini, itu bukan kenangan manis, tetapi trauma yang diindahkan.
Diindahkan dengan kata-kata seperti pukul kerana sayang, pukul kerana aku degil sangat, pukul kerana itu cara terbaik, sebab kena pukullah aku jadi manusia hari ini, dan lain-lain. Namun, ia tetap tidak dapat menutup hakikat bahawa ia hasil daripada trauma, cuma diindahkan oleh minda manusia yang kompleks yang cuba mengatasi trauma untuk meneruskan kehidupan.
Menyedari hakikat teknik parenting dulu lebih banyak memberi trauma kepada anak-anak berbanding kebaikan bukanlah bermaksud untuk kita berdendam. Tetapi ia lebih kepada mengakui hakikat kebenaran dan kita perlu sedar kitaran ini perlu dihentikan dan tidak berterusan pula untuk generasi akan datang. Semuanya perlu bermula dengan parenting yang dilengkapkan dengan ilmu.