Bumi nusantara ini subur dengan lembayung sufi yang membentuk akhlak luhur bangsa Melayu dan menggarap jiwa seorang pejuang untuk mempertahankan nusa dan bangsa. Kini, perjuangan bangsa Melayu itu hanya pada harta benda, pangkat, dan juga pengaruh semata-mata. Tiada lagi perjuangan yang bersifat murni kerana agama Allah itu. Soal ganjaran menjadi keutamaan sedangkan ganjaran atau rezeki itu soal kedua mahupun ketiga. Sedarilah,wahai bangsaku! Kita sudah tidak punya masa untuk berfoya-foya, berkhayal di tanah air sendiri sedangkan segalanya tergadai. Apakah kita tiada rasa kecintaan terhadap negara kita yang sedang dimamah rakus oleh musuh. Marilah kita bersama-sama telusuri semula kekuatan bangsa ini agar kembali teguh pendirian, pemikiran serta tindakan kita dalam mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air kita.