Janet menolak pintu. Mata menangkap deraian kaca di atas lantai. Dia memerhatikan pula sekeliling bilik. Macam tongkang pecah.
Ini bukan Noah yang dia kenal.
“Aku dah banyak bersabar dengan kau. Jangan sampai aku hantar kau ke pusat pemulihan.”
Janet menegur dengan suara keras dalam bahasa mandarin bersulam bahasa Inggeris. Sakit hati betul dengan adiknya yang seorang ini. Menyusahkan.
Janet keluar.
Noah menarik nafas lega. Tapi sekejap sahaja amannya. Janet datang semula bersama penyapu dan penyodok.
“Baba pun dah tak kuasa nak layan kau. You’re a spoil brat!” Mulut Janet sama tangkas dengan pergerakan tangannya.
Noah menggeleng. Dengar suara minah ni, dia lagi serabut. Rambut diramas kasar.
“Mind your own business. Just leave me alone!” Noah meninggikan suara.
Dia mengambil sebotol lagi arak yang berada di atas meja sisi katil.
Janet menghampiri. Botol itu dirampas. Apabila Noah cuba mengambilnya, Janet menyembunyikan botol di belakang tubuhnya.
Masing-masing mencerlung.