Diandra Irdina, tidak mahu terus-terusan dihujani dengan persoalan yang sering kali menyesakkan naluri wanitanya. Lantaran itu dia mengambil keputusan di luar jangkaannya. Tanpa ragu dia menerima lamaran untuk menjadi isteri kepada Amar Redza.
Dugaan, rintangan dan halangan yang perlu ditempuhinya di awal usia perkahwinan mereka benar-benar menuntut kesabaran yang begitu tinggi. Kesungguhan Iqmal Adam yang tidak pernah lelah menagih cinta Diandra Irdina juga membuatkan hati kecil Diandra Irdina mula terusik.
“Kalaulah saya boleh tahan hati saya ni dari mencintai awak, dah lama saya tahan. Dan kalaulah saya boleh ajar hati saya ni untuk berhenti dari menyayangi awak, dah lama saya lakukan semua tu,” luah Iqmal Adam bersungguh-sungguh.
Pelbagai cara yang cuba Diandra Irdina lakukan untuk memenangi hati Amar Redza. Tatkala kebahagiaan mula berputik, Ariana bekas tunang Amar Redza muncul dalam hidup mereka. Dia hadir dengan niat yang tersendiri sehingga berjaya menggugat kepercayaan Amar Redza terhadap isterinya. Diandra Irdina hilang punca. Menggigil seluruh tubuhnya saat mendengar lafaz kata suaminya.
“Awak puas ke bila saya merayu-rayu pada awak macam ni? Ni ke yang awak mahukan dari saya? Awak nak balas balik semua yang telah saya lakukan pada awak? Awak nak saya rasa semua yang awak rasa selama ni? Kalau awak ingat dengan menyakiti hati saya boleh puaskan hati awak, awak buatlah! Teruskanlah! Tapi satu aje yang saya nak awak cakap pada saya sekarang. Betul ke awak dah tak ada apa-apa perasaan pada saya lagi? Betul ke yang awak memang bencikan saya?”