AINA MEDINA, dia bukan seperti anak-anak gadis sebayanya. Dalam usia 21 tahun, dia terlalu sibuk bekerja siang malam demi mencari duit menyara kehidupan. Tak kira penat atau sakit, dia tetap kuat demi orang-orang tersayang. Lagaknya tak ubah seperti seorang ‘Supergirl’.
LUTH ZULKARNAIN, lelaki yang punya segala-galanya. Rupa, harta dan pangkat. Namun ada satu yang lelaki ini tidak miliki. Cinta! Ya, lelaki setampan Luth tidak terisi hatinya dengan cinta setelah kecewa dengan percintaan lalunya. Baginya semua perempuan itu punya sifat yang sama. Mata duitan!
Satu insiden, menembungkan dua insan dari dua dunia berbeza.
“Be my wife.” – Luth Zulkarnain
Tawaran itu Aina rasakan sesuatu yang tak masuk dek akal. Mustahil dia menerimanya. Memang dia orang susah. Perlukan wang demi menyara keluarga. Namun dia bukanlah perempuan murahan yang menjual maruah. Dia tidak kemaruk menerima tawaran kerja paling gila pernah didengarnya itu. Merepek! Mengarut! Merapu meraban!
Namun, kemelut yang dihadapi semakin bertimpa-timpa. Pak sunya dikejar pemiutang. Manakala ibunya pula terpaksa menjalani pembedahan yang mana tidak mampu dibiayai olehnya. Akibatnya dia tersepit. Dalam terpaksa, kerja gila yang ditawarkan oleh mamat muka ketat itu terpaksa juga diterima. Hanya itu jalan yang dia ada.
“Saya dah buat keputusan. Saya terima tawaran awak.” – Aina Medina
Maka… bermulalah kehidupan Luth Zulkarnain dan Aina Medina yang berpaksikan kepura-puraan.
Dalam melayari kehidupan yang penuh dengan olok-olok, benarkah tiada cinta yang menyapa? Jika benar bagai dikata, mengapa mata Aina sentiasa berbulu setiap kali si langau gedik menggeletis datang menghimpit Luth tanpa segan silu? Luth pula, kenapa hatinya rasa seperti ingin meletup setiap kali sahabatnya Awie datang menggoda Aina?
Mampukah Aina si Supergirl ini bertahan demi orang-orang tersayang? Terusan berkorban meskipun hatinya sendiri calar-balar?