Kesedaran orang Melayu mengenai sejarah bangsanya semakin meningkat dalam dekad-dekad yang terakhir ini. Kadar celik huruf yang tinggi dan pendidikan yang tinggi telah merangsang orang Melayu untuk mengorek kembali sejarah bangsanya dan kerajaannya. Orang Melayu bukanlah orang buta sehingga tidak mengambil kisah mengenai peredaran dunia bahkan orang Melayu telah mempunyai tamadun antara yang terawal di dunia.
Penemuan Tamadun Sungai Batu di Merbok Kedah yang berusia sekitar 2600 tahun telah membuka mata masyarakat dunia tentang bangsa Melayu. Sebelum ini di dalam jilid 1, saya telah memuatkan 16 buah kerajaan dan untuk jilid yang kedua, sebanyak 15 buah kerajaan telah dipilih. Oleh itu, buku ini akan membawakan kepada anda mengenai kerajaan-kerajaan Melayu yang pernah wujud di Asia Tenggara.
Selain sesuai untuk bacaan umum, buku ini juga sesuai untuk dijadikan rujukan oleh guru-guru di sekolah terutamanya guru sejarah kerana beberapa kerajaan Melayu yang hilang ini tutut disebutkan dalam buku teks. Ini secara tidak langsung menambah ilmu pengetahuan guru sekaligus dapat berkongsi dengan pelajar di dalam kelas yang akan membawa kelainan dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Pelajar tentunya akan seronok apabila dapat mendengar benda baharu yang tiada dalam buku teks.