“Iskandar, anak lelaki Haji Mahadi dan Hajah Kamariah tu berkenan sangat dengan Zizah. Jadi, dia dan keluarganya nak datang hari ini merisik Zizah.”
Dalam banyak-banyak benda, itulah perkara yang paling Azizah tidak gemar. Dia tak suka jodohnya diatur. Selama ini, bukannya dia memilih. Kerana kesilapan lampau, dia tak berani hendak terima mana-mana lelaki dalam hidupnya.
“Dah lama saya berdiri dekat luar rumah awak ni. Dari tadi saya fikir, nak jumpa awak ke tidak. Hati saya ni, rindu. Dia nak juga jumpa awak.”
“Hah?! Awak gila ke apa? Datang rumah anak dara malam-malam buta.”
“Awak kalau merungut, nampak seksi mulut awak tu pada mata saya. Nampak saja garang, tapi manja sebenarnya.”
Azizah tunjuk sikap sarkastik. Supaya Iskandar menyampah kepadanya. Namun, sikap Iskandar yang gemar mengusik itulah menjadi penyeri hidupnya. Hingga dia terlupa segala derita. Aneh sungguh jiwa ini. Memang sukar ditebak. Pada awalnya, dia begitu membenci Iskandar. Mahu menolak Iskandar. Tetapi kini, hanya sesaat Allah SWT palingkan hatinya. Tanpa dipaksa, Iskandar mula diterima sebagai sebahagian dari hidupnya.