Belian & Pertanyaan:

Belian & Pertanyaan:

Tuesday, 28 March 2017

Bukan Putera Biasa ~ Fathi Fatim

(SEM & S/S) RM26.00 > RM22.90

“Sejak bila aku terlepas pandang mengenai sikapmu? Mana mungkin aku gagal memahami engkau. Tidak pernah sedetik pun dalam hidup aku tiada mengambil tahu tentang perihalmu wahai sahabat.

“Tetapi aku berdiam diri untuk memberi ruang kepadamu. Aku mahu engkau bertenang dan mungkin juga berusaha mencari jawapan terhadap segala persoalan yang bermain di fikiranmu,” jelas Arjuna.

Luth kembali mengukir senyuman. Mendengar setiap jawapan dan kata-kata dari Arjuna seringkali mengesankan dan membuatkan dirinya berfikir panjang. Sahabatnya memang seorang anak muda yang bijak. Dia amat bertuah kerana Arjuna mahu setia di sisinya sebagai penjaga. Kasih sayang mereka terlalu teguh.

Meski dilahirkan sebagai seorang putera, Luth tidak pernah merasakan dirinya lebih besar daripada Arjuna. Dia sedaya upaya menyingkirkan perbezaan darjat antara mereka tetapi Arjuna menegaskan, seutuh mana pun persahabatan mereka tetap tidak dapat menghakis kenyataan bahawa dia seorang putera dan Arjuna adalah rakyat biasa.

“Memang bernas buah fikiranmu. Nampaknya sebab itulah aku terlalu sayangkan engkau dan persahabatan kita. Sungguh kalau masa mampu diputar kembali, aku mahu mohon kepada Allah agar dilahirkan dari perut seorang wanita rakyat biasa. Bukan wanita yang berdarjat tinggi seperti ibu,”
“Luth…”
“Dengar dahulu apa yang mahu aku katakan,” sambung Luth.
Pandangannya dilontar jauh merentasi pemandangan berbukit-bukau yang menghijau di hadapan mereka.
“Aku redha dengan takdir Allah yang mahukan aku berada di sini sebagai anak seorang pembesar. Aku tidak pernah kesal, Arjuna. Aku bersyukur dikurniakan kehidupan yang serba sempurna. Aku yakin ada sebab tertentu mengapa aku dilahirkan sebagai seorang Bangsa Nirmala dan terpilih untuk menjaga bangsa kita apabila tiba masanya nanti.
“Namun apa yang aku terkilan adalah kerana aku tidak mampu bersama dengan insan-insan yang aku sayangi disebabkan darjat seorang putera. Sesungguhnya aku berasa terkongkong dengan segala protokol yang menyesakkan ini. Tidak bolehkah kiranya kita menganggap itu sebagai satu garis halus sahaja? Garis halus yang boleh dihapuskan pada bila-bila masa. Kerana garis halus itu, ada kala aku rasa seperti putus asa dan tidak berdaya,” keluh Luth.
“Ada masanya aku merasakan seolah tempat aku bukan di sini, Arjuna.” Luah Luth lagi.
Hingga akhirnya beberapa titis air mata jatuh ke pipi.